Kalimah Allah

BismiLlah wa alhamduliLlah kerana dapat menyampaikan khutbah jumaat di masjid Kg Bukit Lancung, Shah Alam (bersebelahan rumah saya) bertajuk “Kalimah Allah”, 11 Jan 2013.

Terima kasih sangat-sangat kepada penulis buku Antara Nama dan Hakikat – Kemelut Kalimah Allah, terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Encik Md Asham b Ahmad. Penulisan beliau amat baik dalam menerangkan polimik kalimah Allah yang sangat rumit untuk diselesaikan dalam masa sebelum pilihanraya. Saya mengolah penulisan beliau dalam buku tersebut untuk dijadikan teks khutbah saya pada hari itu, dalam masa yang sama mengekalkan hampir semua ayat-ayat yang bagus dan point-point yang bernas yang beliau tuliskan.

Dengan buku yang sama, saya jadikan panduan untuk saya sampaikan tazkirah 10 minit sebelum masuk waktu jumaat hari tersebut. Terima kasih kepada penulis, semoga dengan tulisan yang penuh emosi dan semangat ingin membela kalimah Allah daripada dicemari oleh golongan yang memiliki agenda tersembunyi mendapat ganjaran besar di sisi Allah swt. Walaupun tidak setebal mana buku itu, tetapi hampir menitiskan air mata pembaca, beliau berjaya menyedarkan peri pentingnya seseorang itu memahami hubungan antara bahasa dan makna, betapa Islam memiliki perkaitan erat dalam aspek bahasa dan persuratan.

Tiada siapa boleh menggunakan istilah sesuka hati dan ianya lari daripada makna asal istilah itu. Maka ada asasnya bilamana Muslim bangkit dengan kemarahan apabila kalimah Allah digunakan dalam Bible versi Melayu. Bahkan agak janggal Bible yang telah diselewengkan itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu, kerana majoriti penganut Kristian bukan dari bangsa Melayu, lebih-lebih lagi bangsa Melayu di Malaysia semuanya ditakrifkan sebagai Muslim. Lebih pelik apabila perkataan God ingin diterjemahkan sebagai Allah, sedangkan tuhan Kristian bukanlah Allah tetapi Jesus yang mereka dakwa.

Jika mereka kata tuhan mereka Allah juga, maka sesungguhnya Allah Maha Suci daripada sebarang persekutuan, suci daripada di-perduakan atau di-pertigakan.

Semoga Allah tetapkan hati para pemimpin yang beragama Islam untuk terus membela agama suci ini dengan penuh keikhlasan tanpa melihat kepentingan tertentu. Kami umat Islam amat sayangkan kamu semua dan kami sentiasa mendoakan kesejahteraan buat Raja-raja kami, ADUN kami, MP kami yang beragama Islam, tidaklah kami marah dan menegur kamu semua kecuali kerana Allah swt.

Di sini saya sertakan teks khutbah jumaat sebagai cadangan untuk dibacakan di masjid-masjid, sebahagian ayat2 al-Quran tidak disertakan terjemahan bahasa Melayu (boleh muatkan sendiri). Terima kasih sekali lagi kepada penulis buku yang saya sebutkan di atas, saya doakan agar Allah sentiasa meredhai usaha anda.

Teks khutbah (olahan daripada buku karangan Md Asham bin Ahmad, terbitan IKIM)

 

BismiLlah / Hamdalah / Selawat / Bertaqwa kepada Allah…Amma ba`du…

Muslimin yang dirahmati Allah sekelian

Agama Islam adalah agama tanzil (yang diturunkan oleh Allah swt) dan salah satu dari ciri-ciri asasinya ialah ia disampaikan kepada manusia dengan perantaraan bahasa yang terpelihara keasliannya. Berbeza dari kebudayaan-kebudayaan lain, kebudayaan Islam bersifat kebudayaan sastera dan persuratan.

Sememangnya bahasa tidak boleh dipisahkan dari akal, oleh itu Islam menekankan penggunaan istilah yang tepat bagi menyampaikan maksud, ia tidak boleh ditukar-ganti, dipinda atau diberikan makna sesuka hati.

Sebarang pindaan pada istilah dan makna yang terkandung dalamnya akan mengkucar-kacirkan kefahaman dan mengkaburkannya. Dan jika ini dibiarkan, maka akan berlakulah kekeliruan, bahkan masyarakat tidak mampu membezakan antara yang hak dan yang batil.

Inilah yang berlaku kepada umat-umat terdahulu, yang telah hilang pedoman hidup walaupun telah diturunkan kepada mereka kitab-kitab. Di kalangan mereka muncul para pengarang “pendusta” yang telah menyelewengkan kebenaran demi sedikit habuan dunia.

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلا فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

Al-Baqarah: 79

Kelakuan mereka itu disebut oleh al-Quran untuk dijadikan sempadan oleh umat yang datang kemudian.

وَلا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ أُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya: Janganlah kamu mengikuti tingkah-laku orang-orang yang melupai Allah, sehingga Allah jadikan mereka lupa siapa diri mereka, merekalah kaum yang fasiq. Al-Hasyr: 19

Muslimin sekelian

Amatlah menarik untuk kita renungkan pada ayat di atas, yang mana Allah menceritakan kepada kita tentang golongan kuffar ini, bahawa mereka lupa akan Allah, dan ini termasuklah kalimah “Allah” itu sendiri. Hakikatnya kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam bible versi bahasa Hebrew, Greek mahupun bahasa Latin, samada dalam bible Old Testament atau bible New Testament. Ketahuilah daripada versi-versi inilah lahir pula versi bahasa Inggeris yang terkenal dan tersebar luas sehingaa ke hari ini. Kesemua versi ini tiada langsung ditulis Tuhan mereka dengan nama Allah, ia lebih dikenali dengan panggilan “God”, dan jika nak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sekalipun ianya akan disebut sebagai “Tuhan”.

Maka jelaslah kepada kita yang golongan kristian di Malaysia pada hari ini, ingin mengelirukan umat Islam, kita sedia maklum yang umat Islam hari ini lemah dari sudut akidah, lemahnya mereka berpegang teguh dengan Islam dan amat mudah tertipu dan terpedaya dengan dakyah kristian.

Pada pandangan seorang muslim, amatlah tidak munasabah bagi suatu agama seperti kristian yang mendakwa agama mereka agama yang benar dan diturunkan dari langit, tetapi tidak mempunyai nama bagi tuhan mereka sehingga terpaksa meminjam dari umat Islam.

Marilah kita dengar firman Allah swt yang menjelaskan bagaimana golongan kristian ini boleh lupa:

فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَى خَائِنَةٍ مِنْهُمْ إِلا قَلِيلا مِنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya: Dengan sebab pengkhianatan mereka (Kaum Bani Israel) terhadap perjanjian yang mereka buat, Kami melaknat mereka dan jadikan hati-hati mereka keras – mereka menyelewengkan makna-makna kalimah, dan mereka lupa sebahagian besar dari peringatan yang diberikan untuk mereka.

Menurut keterangan ayat ini semua itu bermula dengan penyelewengan kalimah, sehingga risalah yang diturunkan kepada mereka melalui para Rasul terdahulu mula hilang dan dilupai sedikit demi sedikit. Apa yang tinggal dari risalah itu ialah campur-aduk antara kebenaran dan kepalsuan sedangkan mereka masih mendakwa kepada para pengikut mereka “semua ini datang daripada Allah”. Alangklah besarnya pembohongan mereka!!!

Muslimin yang dirahmati Allah sekelian

Tujuan ayat-ayat ini dipetik adalah untuk menjelaskan kepada kita garis pemisah antara kita kaum muslimin dan mereka kaum kristian, khususnya sikap masing2 terhadap apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kita dan mereka. Kejahilan dan kekeliruan tentang perkara ini menyebabkan ramai dari kalangan kita yang alpa, dengan siapakah yang kita hadapi sekarang ini?

Agar kita juga tidak lupa, al-Quran dengan tegas mengingatkan kita permusuhan mereka terhadap kita dan memberi amaran kepada kita agar tidak mengikut hawa nafsu mereka.

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِير

Al-Baqarah: 120

Dan sesungguhnya golongan itu bertuhankan hawa nafsu yang ciri-cirinya dijelaskan oleh Allah swt dalam al-Quran:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا (٤٣)أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلا كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلا

Ertinya: Tidakkah kamu melihat dikalangan manusia orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan? Adakah kamu menjadi pelindung baginya? Ataupun engkau menyangka kebanyakkan mereka akan mendengar dan cuba memahami? Sebaliknya bandingan yang layak bagi mereka ialah haiwan, bahkan mereka lebih sesat lagi.

Saudaraku yang dikasihi sekelian

Percanggahan pendapat para pemimpin muslim pada hari ini sehingga mengelirukan masyarakat awam adalah berpunca dari kegagalan memahami bahawa persoalan bahasa adalah persoalan dasar apabila berbicara tentang akidah dan pemikiran. Justeru mereka menafikan kepentingannya dengan meyifatkannya seolah-olah “perebutan kalimah yang sia-sia”.

Mari kita merenung ayat ini supaya kita mengetahui bahawa akidah tidak boleh dipisahkan dengan kalimah:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (٢٤)تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٢٥)وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الأرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (٢٦)يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ

Ertinya: Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah ibarat sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

Muslimin yang dirahmati Allah

Kalimah yang baik seperti yang Allah swt sebutkan tadi ialah kalimah “Tiada Tuhan selain Allah..”. Mimbar berpendapat, ada asasnya juga untuk kita sebagai muslim marah di atas tuntutan yang mereka buat untuk menggunakan kalimah Allah. Sebabnya, bagaimana mereka boleh mendakwa kalimah Allah itu juga hak mereka, sedangkan sesuatu kalimah hanya sah digunakan apabila hakikat yang ditunjukkan daripada klimah itu tidak lari daripada maksud asal. Kalimah Allah bukan kalimah Melayu, bahkan ia bukan milik mana2 bahasa manusia di dunia ini, ia milik Allah dan ia adalah nama bagi Tuhan Yang Maha Esa….Maha Suci Allah daripada maksud yang mereka ada-adakan tentang Zat Allah. Menterjemahkan God sebagai Allah bukan semata-mata melibatkan pertukaran perkataan dan sebutan tetapi yang lebih penting kesannya kepada akal dan fikiran. Oleh itu, kemarahan umat Islam bukan lahir dari perasaan melulu, sebaliknya membayangkan fitrah Islam yang waras.

Allah swt yang telah menamakan zatNya Yang Agung itu dengan nama Allah. Dan dengan nama itu jugalah Allah swt di-Esa-kan dan tidak disekutukan, malah tidak layak bagi sesiapapun menyebut nama Allah, lantas dalam masa yang sama dia memperduakan atau mempertigakan Allah itu. Allah yang disebut dan diserukan di corong2 speaker ketika tuan bilal melaungkan azan, bukanlah bermaksud dengan maksud yang lain, Allah yang disebut ketika takbir dalam solat mahupun diluar solat bukanlah Allah yang mereka ingkar untuk tunduk kepadaNya, Allah yang dilafazkan dalam zikir dan tahlil bukanlah Allah yang mereka sektutukan, tetapi Dialah Allah Yang Maha Esa dan Maha Kuasa, tiada sekutu bagiNya.

وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Ertinya: Dan Allah mengajarkan kepada Adam semua nama dan membentangkannya kepada para Malaikat, seterusnya Allah berkata kepada para Malaikat: Beritahu kepadaKu nama2 itu sekiranya kamu benar. Al-Baqarah: 31

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Dia telah mengajarkan Nabi Adam a.s semua nama2 yang tidak diketahui oleh para malaikat. Dan sudah pasti antara nama2 yang telah diajarkan oleh Allah swt kepada Nabi Adam sudah tentu namaNya sendiri Yang Maha Esa, iaitu kalimah Allah, dan juga sudah pasti kalimah Allah yang diajarkan kepada Nabi Adam itu bermaksud zat Allah Yang Maha Esa yang tidak dipersekutukan.

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya: Bahawa sesungguhnya telah kufurlah mereka yang berkata bahawa Allah itu satu dari tiga. Sesungguhnya tiada tuhan melainkan Tuhan Yang Esa, dan sekiranya mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti golongan yang kufur dikalangan mereka disentuh azab yang amat pedih. Al-Maidah; 73

يا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلا تَقُولُوا ثَلاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلا

Ertinya: Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga – Isa adalah tiupan) roh daripada Allah. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanya-sanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).

 

BarakaLlahu…..

 

Advertisements
By bahteradakwah

Keluarga Adalah Ujian

Sebelum kahwin kita rancak berbicara soal dakwah dan tarbiyah. Sekarang bila sudah mendirikan rumah-tangga, baru tahu apakah ujian dan cabaran sebenarnya.

Oleh itu bagi saya, semangat pemuda itu mestilah dikawal agar tidak menyimpang dari kedudukan asalnya.

“Sekarang saya tahu beban yang dipikul, semangat muda amat perlu, tetapi gerak kerja cara orang muda susah sikit” Ungkap seorang Pakcik tua kepada saya ketika beliau menghadiri program perkhemahan.

Tidak dinafikan keluarga sedikit sebanyak mengekang gerak geri kita, tetapi pada hakikatnya jika kita pandai menyusun dan mengatur masa, kitalah yang mengawal kerja keluarga. Saya yakin anda mampu mengawal keluarga anda, bukan keluarga anda yang mengawal kerja anda.

Sebelum mendirikan rumah-tangga dan tidak dikurniakan anak, saya tidak mampu untuk tadabbur ayat Allah swt yang berbunyi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ ۚ وَإِن تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’

Apa pun keluarga adalah ujian sebenar bagi seseorang dalam mengharungi kehidupan ini. Yang menjadikan kita seorang yang baik adalah keluarga kita, yang membentuk kita sebaliknya juga adalah keluarga kita. Berhati-hatilah dan jadilah pembimbing kepada mereka.

Selepas solat isya’ di masjid bersebalahan rumah, saya singgah sebentar di restoran tepi masjid untuk membeli makanan secara bungkus. Ketika berjalan kaki menuju ke rumah, saya disapa seorang ahli kariah dan jemaah masjid di situ, katanya ingin menceritakan masalah rumah-tangganya kepada saya. Kami tak duduk, bahkan secara berdiri di tepi jalan dia meluahkan satu-persatu masalahnya kepada saya. Perkara pertama sekali yang terkeluar dari mulutnya “Ustaz, saya nak lepaskan isteri saya sebab dia nusyuz”. Saya terkejut dengan apa yang dia sebutkan kerana dia orang yang saya kenal sebagai “kaki masjid”, anaknya pun dah ramai dan paling tua 24 tahun, tak sangka Allah kurniakan kepadanya isteri yang dia gelarkan sebagai “nusyuz”.

Tambahnya, isteri langsung tak dengar cakap, solat ditinggalkan tanpa rasa bersalah. Bahkan, tiga tahun membiarkan anak-anak dan suami berfikir sendiri tentang makan dan pakaian, tak pernah dia uruskan walaupun masih sebumbung.

“Saya tak sanggup tanggung dosa isteri saya lagi dan saya tak mampu nak berikan arahan kepadanya, dia juga dah enam kali minta saya ceraikan dia, alhamdulillah saya mampu bersabar serta anak-anak bersama saya. Cuma tahun ini saya sudah bertekad untuk lepaskan dia”. Terus saya tangkap apa yang dia luahkan, saya kata “Abang tak pernah menghukum isteri kan?”, “Benar ustaz”. Hati saya terus terdetik akan kelemahannya menegur isterinya, sedangkan syara’ berikan kelapangan untuk suami.

Lantas saya nasihatkan dia untuk pergi ke JAIS bagi mendapatkan nasihat daripada pihak yang ada autoriti. Lama kami bersembang sambil berdiri di tepi jalan utama, mungkin hampir satu jam.

Apa yang dapat saya simpulkan ialah, tanggungjawab sebagai ketua rumah-tangga amat besar. Anda adalah dai`e dalam masyarakat, anda juga adalah ketua keluarga, dalam masa yang sama anda juga bertanggungjawab mencari nafkah buat keluarga.

Ya Allah..Amat berat tanggungjawab sebagai ketua, tetapkan hati kami dalam menyebarkan agamaMu kepada manusia, baik diri, keluarga dan masyarakat.

Keluarga adalah ujian :)…

By bahteradakwah

Menyelamatkan Diri Daripada Ancaman Allah SWT

Kunci utama untuk menyelamatkan diri daripada ancaman Allah swt adalah dengan sentiasa tunduk dan patuh kepada arahan dan perintahNya. Ketaatan yang jitu terhadap segala perintah Allah swt menjamin keselamatan daripada kemurkaanNya.

Kasih sayang serta keberkatan daripada Yang Maha Esa amat kita dambakan dalam kehidupan di atas muka bumi yang luas ini. Kasih-sayang Allah akan melimpah ruah bahkan dibukakan selua-luasnya buat hamba yang menjadikan paginya, petangnya dan malamnya untuk patuh kepada seruan Allah swt.

Bukan bermakna dahi kita ini sentiasa sujud kepadaNya, tidak bermaksud tubuh ini berada dalam keadaan ruku` kepadaNya baru digolongkan bersama dengan hamba yang taat. Bukan juga melilit gulungan tasbih di pergelangan tangan kanan itu sahaja dikira zikir dan mengingatiNya. Akan tetapi tidur kita, bangun kita, mandi dan persiapan ke tempat kerja itulah yang dijadikan ibadah kepadaNya bila diselit dengan niat ikhlas hanya keranaNya.

Kesilapan memahami pengertian ibadah dalam sebahagian masyarakat menyebabkan mereka yang malas terus dengan sikap kemalasannya, sebaliknya juga mereka yang rajin beribadah meninggalkan kerja-kerja pencarian nafkahnya. Akhir sekali kemurkaan Allah swt menimpa mereka yang salah pemahaman konsep ibadah.

Sedangkan ajakan beriman dan bertaqwa tidak membawa maksud sedemikian. Dengan pemahaman yang jelas dan tepat serta memahami konsep sebenar “khudhu`” melimpahkan sejuta keberkatan dari Maha Pencipta.

Maksud dari firman Allah swt dalam surah al-A`raf, ayat 96:

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Manusia pada hari ini lupa dan leka, lantas mereka tidak pernah mengingati betapa Allah swt akan menurunkan azabNya pada bila-bila masa. Kelalaian yang berterusan bahkan membelakangkan al-Quran dan Sunnah menyebabkan Allah swt tidak menyembunyikan azabNya ke atas mereka.

Azab bukan hanya dengan gempa bumi yang berlaku, tanah runtuh, ribut taufan dan bumi terbelah. Hanya dengan kepayahan melaksanakan ibadah sudah dikira bala’ dariNya. Umpama fitnah dan dugaan yang melanda umat Islam saat ketika dihalang ke masjid untuk beribadah oleh golongan kuffar, laungan azan dibataskan hanya dalam ruang masjid sahaja, syiar Islam yang sepatutnya dikibarkan lantas ditutup ruang kibarannya, itulah antara azab yang menyelubungi umat ini.

Sedar atau tidak saat muslim seluruhnya mengabaikan perintah Allah swt dengan membelakangkan firmanNya yang mengarahkan mereka bersatu padu untuk melawan musuh Islam, lantas seluruh muslim itu enggan menerimanya, dalam masa yang sama mengutamakan permohonan senyap musuh, akibatnya bala’ bakal menimpa umat. Perpecahan kian terasa, permusuhan kian jelas antara mereka, lalu ianya bakal diratapi bak tangisan kita melihat rakan di Pattani mudah diratah musuh durjana dengan senjata, saudara se-agama di Singapura dibelenggu penafian hak mengibarkan syiar agama Yang Maha Esa, pemerkosaan ke atas wanita suci muslimah di rantau Arab dek kerana membelakangkan kesepatakan antara negara yang bangsanya sama, agama majoritinya sama, bahasanya sama, budayanya se-ia, makanan mereka itulah juga, akan tetapi praktisnya “nafsi-nafsi” aku dengan duniaku dan engkau dengan dunia engkau . Lantas Allah swt menguji mereka dengan ujian yang berat, akibat daripada pendustaan terhadap arahan Rasul mulia saw.

Al-Quran sekali lagi mengingatkan kita al-A`raf, ayat 97-99:

Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur?

Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalahan naik ketika mereka sedang bermain?

Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiadalah yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.

Lalu, apakah pilihan yang ada pada kita? Sudah pasti melarikan diri dari ancamanNya dengan melaksanakan titah perintah Raja Segala Raja, Allah Yang Maha Esa.

By bahteradakwah