Mengimpikan Umrah Yang Mabrur

Saya mendapat panggilan telefon daripada seorang kenalan yang tinggal di Putra Heights, Subang Jaya. Saya kenali beliau ketika beberapa kali menyampaikan kuliah maghrib dan subuh di surau beliau iaitu surau Nurul Islah. Namanya Maaruf, saya panggil beliau dengan nama Hj. Maaruf.

Panggilan telefon itu mengejutkan saya kerana dia meminta saya menyampaikan perkongsian ringkas dua jam berkaitan perlaksanaan umrah. Kebetulan saya baru sahaja berpindah kerja daripada sepenuh masa dengan Aman Palestin Berhad kepada pegawai di syarikat Maghfirah Travel Sdn Bhd.

Terus terang saya katakan kepada beliau bahawa saya tidak ada pengalaman menunaikan umrah apatah lagi haji. Lalu beliau berkata, “Tak mengapa ustaz, saya hanya ingin ustaz kongsikan perlaksanaan umrah dalam bentuk teori fiqh”. Kalau begitu permintaannya saya tidak kisah, asalkan dia berpuas hati dan saya juga gembira, kerana ini adalah pengalaman pertama saya berkongsi satu tajuk yang saya tidak pernah alaminya secara “real”, kalau pun sebelum ini pernah menyampaikan tajuk yang sama kepada anak-anak murid ketika mengajar di sekolah rendah Islam satu ketika dahulu. Kini tajuk yang sama saya akan kongsikan dengan orang yang pernah menunaikan haji dan beberapa kali ibadah umrah.

Hj Maaruf kata, bukan beliau seorang sahaja yang akan berada dalam majlis perkongsian itu nanti, bahkan ada lima orang yang lain daripada ahli keluarganya yang juga berpengalaman beberapa kali ke tanah suci ingin mengulang-kaji pelajaran yang sama. MasyaAllah, saya amat gementar kerana pengalaman mereka melebihi saya sebagai penyampai topik.

Alhamdulillah, pada malam yang telah dijanjikan sebulan sebelumnya, saya amat-amat gembira kerana saya dapat sampaikan tajuk ini dengan amat baik sekali (mengikut hemat saya) dan mereka berenam yang hadir amat berpuas hati dengan teori yang saya kongsikan. Saya berikan mereka teori dan mereka berikan saya gambaran praktikal di sana. Mereka dapat faedah daripada saya dan saya juga menggarap sebanyak mungkin pengalaman berharga daripada mereka.

Ditambah pula, dengan sokongan daripada bahan slide power point yang saya paparkan untuk tatapn keluarga Hj Maaruf. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada asatizah di Maghfirah Travel (Indonesia) di atas penyediaan slide power point yang amat menarik, mudah difahami, menyelitkan hadith-hadith sahih, gambaran perlaksanaan ibadah umrah mengikut cara Nabi saw, dimuatkan dengan gambar-gambar lukisan yang menarik perhatian penceramah dan pendengar. Saya sunting sedikit slide itu ke dalam bahasa Melayu (Malaysia) kerana terdapat beberapa istilah yang sukar difahami jika dikekalkan dalam bahasa Melayu (Indonesia).

Seusai perkongsian teori ibadah umrah bersama mereka, sempat juga saya tayangkan satu video perlaksanaan umrah “Eksekutif” Maghfirah Travel (Indonesia). Video itu amat menarik perhatian keluarga ini, walaupun mereka akan berangkat ke sana dengan syarikat lain, tetapi berdasarkan paparan video itu, isyarat wajah mereka menggambarkan kepuasan pakej “Eksekutif” Maghfirah Travel dan pakej ini amat baik kerana menjanjikan keselesaan kepada jemaah ketika melaksanakan ibadah di tanah suci.

Sebelum pulang, saya ajukan soalan kepada Hj Maaruf, daripada mana beliau tahu saya bertugas dengan Maghfirah Travel sehingga beliau menelefon saya untuk perkongsian malam ini? Lalu beliau menjawab “Daripada laman sosial Facebook”. MaysaAllah amat luas rangkaian facebook kita, kalau bukan daripada laman sosial peribadi saya kemungkinan besar daripada laman facebook Maghfirah Travel & Tours Sdn Bhd.

Secara peribadi perkongsian ilmiah ini menjadikan saya semakin rindu untuk melaksanakan ibadah umrah ini dalam keadaan yang selesa dan penuh ketenangan. Bagi saya biarlah belanjanya mahal asalkan saya tidak mengeluh saat melaksanakannya.

Inilah bumi barakah, bumi penuh ujian, kurangkan tekanan dengan fasiliti yang sarat dengan pengisian dan keselesaan. Ketenangan dan keselesaan amat perlu untuk membantu perlaksanaan ibadah yang sempurna. Maghfirah Travel & Tours Sdn Bhd sentiasa bersedia berkongsi pengalaman indah bersama para jemaah di tanah suci ini. Sabda Nabi saw yang bermaksud:-

“Sebaik-baik amalam ialah haji yang mabrur atau umrah yang mabrur”. HR Ahmad dan Tobrani.

“Dosa-dosa yang dilakukan selepas satu umrah diampunkan melalui umrah yang berikutnya”.

HR Bukhari dan Muslim

By bahteradakwah

Kalimah Allah

BismiLlah wa alhamduliLlah kerana dapat menyampaikan khutbah jumaat di masjid Kg Bukit Lancung, Shah Alam (bersebelahan rumah saya) bertajuk “Kalimah Allah”, 11 Jan 2013.

Terima kasih sangat-sangat kepada penulis buku Antara Nama dan Hakikat – Kemelut Kalimah Allah, terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Encik Md Asham b Ahmad. Penulisan beliau amat baik dalam menerangkan polimik kalimah Allah yang sangat rumit untuk diselesaikan dalam masa sebelum pilihanraya. Saya mengolah penulisan beliau dalam buku tersebut untuk dijadikan teks khutbah saya pada hari itu, dalam masa yang sama mengekalkan hampir semua ayat-ayat yang bagus dan point-point yang bernas yang beliau tuliskan.

Dengan buku yang sama, saya jadikan panduan untuk saya sampaikan tazkirah 10 minit sebelum masuk waktu jumaat hari tersebut. Terima kasih kepada penulis, semoga dengan tulisan yang penuh emosi dan semangat ingin membela kalimah Allah daripada dicemari oleh golongan yang memiliki agenda tersembunyi mendapat ganjaran besar di sisi Allah swt. Walaupun tidak setebal mana buku itu, tetapi hampir menitiskan air mata pembaca, beliau berjaya menyedarkan peri pentingnya seseorang itu memahami hubungan antara bahasa dan makna, betapa Islam memiliki perkaitan erat dalam aspek bahasa dan persuratan.

Tiada siapa boleh menggunakan istilah sesuka hati dan ianya lari daripada makna asal istilah itu. Maka ada asasnya bilamana Muslim bangkit dengan kemarahan apabila kalimah Allah digunakan dalam Bible versi Melayu. Bahkan agak janggal Bible yang telah diselewengkan itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu, kerana majoriti penganut Kristian bukan dari bangsa Melayu, lebih-lebih lagi bangsa Melayu di Malaysia semuanya ditakrifkan sebagai Muslim. Lebih pelik apabila perkataan God ingin diterjemahkan sebagai Allah, sedangkan tuhan Kristian bukanlah Allah tetapi Jesus yang mereka dakwa.

Jika mereka kata tuhan mereka Allah juga, maka sesungguhnya Allah Maha Suci daripada sebarang persekutuan, suci daripada di-perduakan atau di-pertigakan.

Semoga Allah tetapkan hati para pemimpin yang beragama Islam untuk terus membela agama suci ini dengan penuh keikhlasan tanpa melihat kepentingan tertentu. Kami umat Islam amat sayangkan kamu semua dan kami sentiasa mendoakan kesejahteraan buat Raja-raja kami, ADUN kami, MP kami yang beragama Islam, tidaklah kami marah dan menegur kamu semua kecuali kerana Allah swt.

Di sini saya sertakan teks khutbah jumaat sebagai cadangan untuk dibacakan di masjid-masjid, sebahagian ayat2 al-Quran tidak disertakan terjemahan bahasa Melayu (boleh muatkan sendiri). Terima kasih sekali lagi kepada penulis buku yang saya sebutkan di atas, saya doakan agar Allah sentiasa meredhai usaha anda.

Teks khutbah (olahan daripada buku karangan Md Asham bin Ahmad, terbitan IKIM)

 

BismiLlah / Hamdalah / Selawat / Bertaqwa kepada Allah…Amma ba`du…

Muslimin yang dirahmati Allah sekelian

Agama Islam adalah agama tanzil (yang diturunkan oleh Allah swt) dan salah satu dari ciri-ciri asasinya ialah ia disampaikan kepada manusia dengan perantaraan bahasa yang terpelihara keasliannya. Berbeza dari kebudayaan-kebudayaan lain, kebudayaan Islam bersifat kebudayaan sastera dan persuratan.

Sememangnya bahasa tidak boleh dipisahkan dari akal, oleh itu Islam menekankan penggunaan istilah yang tepat bagi menyampaikan maksud, ia tidak boleh ditukar-ganti, dipinda atau diberikan makna sesuka hati.

Sebarang pindaan pada istilah dan makna yang terkandung dalamnya akan mengkucar-kacirkan kefahaman dan mengkaburkannya. Dan jika ini dibiarkan, maka akan berlakulah kekeliruan, bahkan masyarakat tidak mampu membezakan antara yang hak dan yang batil.

Inilah yang berlaku kepada umat-umat terdahulu, yang telah hilang pedoman hidup walaupun telah diturunkan kepada mereka kitab-kitab. Di kalangan mereka muncul para pengarang “pendusta” yang telah menyelewengkan kebenaran demi sedikit habuan dunia.

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلا فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

Al-Baqarah: 79

Kelakuan mereka itu disebut oleh al-Quran untuk dijadikan sempadan oleh umat yang datang kemudian.

وَلا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ أُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya: Janganlah kamu mengikuti tingkah-laku orang-orang yang melupai Allah, sehingga Allah jadikan mereka lupa siapa diri mereka, merekalah kaum yang fasiq. Al-Hasyr: 19

Muslimin sekelian

Amatlah menarik untuk kita renungkan pada ayat di atas, yang mana Allah menceritakan kepada kita tentang golongan kuffar ini, bahawa mereka lupa akan Allah, dan ini termasuklah kalimah “Allah” itu sendiri. Hakikatnya kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam bible versi bahasa Hebrew, Greek mahupun bahasa Latin, samada dalam bible Old Testament atau bible New Testament. Ketahuilah daripada versi-versi inilah lahir pula versi bahasa Inggeris yang terkenal dan tersebar luas sehingaa ke hari ini. Kesemua versi ini tiada langsung ditulis Tuhan mereka dengan nama Allah, ia lebih dikenali dengan panggilan “God”, dan jika nak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sekalipun ianya akan disebut sebagai “Tuhan”.

Maka jelaslah kepada kita yang golongan kristian di Malaysia pada hari ini, ingin mengelirukan umat Islam, kita sedia maklum yang umat Islam hari ini lemah dari sudut akidah, lemahnya mereka berpegang teguh dengan Islam dan amat mudah tertipu dan terpedaya dengan dakyah kristian.

Pada pandangan seorang muslim, amatlah tidak munasabah bagi suatu agama seperti kristian yang mendakwa agama mereka agama yang benar dan diturunkan dari langit, tetapi tidak mempunyai nama bagi tuhan mereka sehingga terpaksa meminjam dari umat Islam.

Marilah kita dengar firman Allah swt yang menjelaskan bagaimana golongan kristian ini boleh lupa:

فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَى خَائِنَةٍ مِنْهُمْ إِلا قَلِيلا مِنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya: Dengan sebab pengkhianatan mereka (Kaum Bani Israel) terhadap perjanjian yang mereka buat, Kami melaknat mereka dan jadikan hati-hati mereka keras – mereka menyelewengkan makna-makna kalimah, dan mereka lupa sebahagian besar dari peringatan yang diberikan untuk mereka.

Menurut keterangan ayat ini semua itu bermula dengan penyelewengan kalimah, sehingga risalah yang diturunkan kepada mereka melalui para Rasul terdahulu mula hilang dan dilupai sedikit demi sedikit. Apa yang tinggal dari risalah itu ialah campur-aduk antara kebenaran dan kepalsuan sedangkan mereka masih mendakwa kepada para pengikut mereka “semua ini datang daripada Allah”. Alangklah besarnya pembohongan mereka!!!

Muslimin yang dirahmati Allah sekelian

Tujuan ayat-ayat ini dipetik adalah untuk menjelaskan kepada kita garis pemisah antara kita kaum muslimin dan mereka kaum kristian, khususnya sikap masing2 terhadap apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kita dan mereka. Kejahilan dan kekeliruan tentang perkara ini menyebabkan ramai dari kalangan kita yang alpa, dengan siapakah yang kita hadapi sekarang ini?

Agar kita juga tidak lupa, al-Quran dengan tegas mengingatkan kita permusuhan mereka terhadap kita dan memberi amaran kepada kita agar tidak mengikut hawa nafsu mereka.

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِير

Al-Baqarah: 120

Dan sesungguhnya golongan itu bertuhankan hawa nafsu yang ciri-cirinya dijelaskan oleh Allah swt dalam al-Quran:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا (٤٣)أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلا كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلا

Ertinya: Tidakkah kamu melihat dikalangan manusia orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan? Adakah kamu menjadi pelindung baginya? Ataupun engkau menyangka kebanyakkan mereka akan mendengar dan cuba memahami? Sebaliknya bandingan yang layak bagi mereka ialah haiwan, bahkan mereka lebih sesat lagi.

Saudaraku yang dikasihi sekelian

Percanggahan pendapat para pemimpin muslim pada hari ini sehingga mengelirukan masyarakat awam adalah berpunca dari kegagalan memahami bahawa persoalan bahasa adalah persoalan dasar apabila berbicara tentang akidah dan pemikiran. Justeru mereka menafikan kepentingannya dengan meyifatkannya seolah-olah “perebutan kalimah yang sia-sia”.

Mari kita merenung ayat ini supaya kita mengetahui bahawa akidah tidak boleh dipisahkan dengan kalimah:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (٢٤)تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٢٥)وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الأرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (٢٦)يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ

Ertinya: Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah ibarat sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

Muslimin yang dirahmati Allah

Kalimah yang baik seperti yang Allah swt sebutkan tadi ialah kalimah “Tiada Tuhan selain Allah..”. Mimbar berpendapat, ada asasnya juga untuk kita sebagai muslim marah di atas tuntutan yang mereka buat untuk menggunakan kalimah Allah. Sebabnya, bagaimana mereka boleh mendakwa kalimah Allah itu juga hak mereka, sedangkan sesuatu kalimah hanya sah digunakan apabila hakikat yang ditunjukkan daripada klimah itu tidak lari daripada maksud asal. Kalimah Allah bukan kalimah Melayu, bahkan ia bukan milik mana2 bahasa manusia di dunia ini, ia milik Allah dan ia adalah nama bagi Tuhan Yang Maha Esa….Maha Suci Allah daripada maksud yang mereka ada-adakan tentang Zat Allah. Menterjemahkan God sebagai Allah bukan semata-mata melibatkan pertukaran perkataan dan sebutan tetapi yang lebih penting kesannya kepada akal dan fikiran. Oleh itu, kemarahan umat Islam bukan lahir dari perasaan melulu, sebaliknya membayangkan fitrah Islam yang waras.

Allah swt yang telah menamakan zatNya Yang Agung itu dengan nama Allah. Dan dengan nama itu jugalah Allah swt di-Esa-kan dan tidak disekutukan, malah tidak layak bagi sesiapapun menyebut nama Allah, lantas dalam masa yang sama dia memperduakan atau mempertigakan Allah itu. Allah yang disebut dan diserukan di corong2 speaker ketika tuan bilal melaungkan azan, bukanlah bermaksud dengan maksud yang lain, Allah yang disebut ketika takbir dalam solat mahupun diluar solat bukanlah Allah yang mereka ingkar untuk tunduk kepadaNya, Allah yang dilafazkan dalam zikir dan tahlil bukanlah Allah yang mereka sektutukan, tetapi Dialah Allah Yang Maha Esa dan Maha Kuasa, tiada sekutu bagiNya.

وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Ertinya: Dan Allah mengajarkan kepada Adam semua nama dan membentangkannya kepada para Malaikat, seterusnya Allah berkata kepada para Malaikat: Beritahu kepadaKu nama2 itu sekiranya kamu benar. Al-Baqarah: 31

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Dia telah mengajarkan Nabi Adam a.s semua nama2 yang tidak diketahui oleh para malaikat. Dan sudah pasti antara nama2 yang telah diajarkan oleh Allah swt kepada Nabi Adam sudah tentu namaNya sendiri Yang Maha Esa, iaitu kalimah Allah, dan juga sudah pasti kalimah Allah yang diajarkan kepada Nabi Adam itu bermaksud zat Allah Yang Maha Esa yang tidak dipersekutukan.

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya: Bahawa sesungguhnya telah kufurlah mereka yang berkata bahawa Allah itu satu dari tiga. Sesungguhnya tiada tuhan melainkan Tuhan Yang Esa, dan sekiranya mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti golongan yang kufur dikalangan mereka disentuh azab yang amat pedih. Al-Maidah; 73

يا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلا تَقُولُوا ثَلاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلا

Ertinya: Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga – Isa adalah tiupan) roh daripada Allah. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanya-sanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).

 

BarakaLlahu…..

 

By bahteradakwah

Keluarga Adalah Ujian

Sebelum kahwin kita rancak berbicara soal dakwah dan tarbiyah. Sekarang bila sudah mendirikan rumah-tangga, baru tahu apakah ujian dan cabaran sebenarnya.

Oleh itu bagi saya, semangat pemuda itu mestilah dikawal agar tidak menyimpang dari kedudukan asalnya.

“Sekarang saya tahu beban yang dipikul, semangat muda amat perlu, tetapi gerak kerja cara orang muda susah sikit” Ungkap seorang Pakcik tua kepada saya ketika beliau menghadiri program perkhemahan.

Tidak dinafikan keluarga sedikit sebanyak mengekang gerak geri kita, tetapi pada hakikatnya jika kita pandai menyusun dan mengatur masa, kitalah yang mengawal kerja keluarga. Saya yakin anda mampu mengawal keluarga anda, bukan keluarga anda yang mengawal kerja anda.

Sebelum mendirikan rumah-tangga dan tidak dikurniakan anak, saya tidak mampu untuk tadabbur ayat Allah swt yang berbunyi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ ۚ وَإِن تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’

Apa pun keluarga adalah ujian sebenar bagi seseorang dalam mengharungi kehidupan ini. Yang menjadikan kita seorang yang baik adalah keluarga kita, yang membentuk kita sebaliknya juga adalah keluarga kita. Berhati-hatilah dan jadilah pembimbing kepada mereka.

Selepas solat isya’ di masjid bersebalahan rumah, saya singgah sebentar di restoran tepi masjid untuk membeli makanan secara bungkus. Ketika berjalan kaki menuju ke rumah, saya disapa seorang ahli kariah dan jemaah masjid di situ, katanya ingin menceritakan masalah rumah-tangganya kepada saya. Kami tak duduk, bahkan secara berdiri di tepi jalan dia meluahkan satu-persatu masalahnya kepada saya. Perkara pertama sekali yang terkeluar dari mulutnya “Ustaz, saya nak lepaskan isteri saya sebab dia nusyuz”. Saya terkejut dengan apa yang dia sebutkan kerana dia orang yang saya kenal sebagai “kaki masjid”, anaknya pun dah ramai dan paling tua 24 tahun, tak sangka Allah kurniakan kepadanya isteri yang dia gelarkan sebagai “nusyuz”.

Tambahnya, isteri langsung tak dengar cakap, solat ditinggalkan tanpa rasa bersalah. Bahkan, tiga tahun membiarkan anak-anak dan suami berfikir sendiri tentang makan dan pakaian, tak pernah dia uruskan walaupun masih sebumbung.

“Saya tak sanggup tanggung dosa isteri saya lagi dan saya tak mampu nak berikan arahan kepadanya, dia juga dah enam kali minta saya ceraikan dia, alhamdulillah saya mampu bersabar serta anak-anak bersama saya. Cuma tahun ini saya sudah bertekad untuk lepaskan dia”. Terus saya tangkap apa yang dia luahkan, saya kata “Abang tak pernah menghukum isteri kan?”, “Benar ustaz”. Hati saya terus terdetik akan kelemahannya menegur isterinya, sedangkan syara’ berikan kelapangan untuk suami.

Lantas saya nasihatkan dia untuk pergi ke JAIS bagi mendapatkan nasihat daripada pihak yang ada autoriti. Lama kami bersembang sambil berdiri di tepi jalan utama, mungkin hampir satu jam.

Apa yang dapat saya simpulkan ialah, tanggungjawab sebagai ketua rumah-tangga amat besar. Anda adalah dai`e dalam masyarakat, anda juga adalah ketua keluarga, dalam masa yang sama anda juga bertanggungjawab mencari nafkah buat keluarga.

Ya Allah..Amat berat tanggungjawab sebagai ketua, tetapkan hati kami dalam menyebarkan agamaMu kepada manusia, baik diri, keluarga dan masyarakat.

Keluarga adalah ujian :)…

By bahteradakwah

Menyelamatkan Diri Daripada Ancaman Allah SWT

Kunci utama untuk menyelamatkan diri daripada ancaman Allah swt adalah dengan sentiasa tunduk dan patuh kepada arahan dan perintahNya. Ketaatan yang jitu terhadap segala perintah Allah swt menjamin keselamatan daripada kemurkaanNya.

Kasih sayang serta keberkatan daripada Yang Maha Esa amat kita dambakan dalam kehidupan di atas muka bumi yang luas ini. Kasih-sayang Allah akan melimpah ruah bahkan dibukakan selua-luasnya buat hamba yang menjadikan paginya, petangnya dan malamnya untuk patuh kepada seruan Allah swt.

Bukan bermakna dahi kita ini sentiasa sujud kepadaNya, tidak bermaksud tubuh ini berada dalam keadaan ruku` kepadaNya baru digolongkan bersama dengan hamba yang taat. Bukan juga melilit gulungan tasbih di pergelangan tangan kanan itu sahaja dikira zikir dan mengingatiNya. Akan tetapi tidur kita, bangun kita, mandi dan persiapan ke tempat kerja itulah yang dijadikan ibadah kepadaNya bila diselit dengan niat ikhlas hanya keranaNya.

Kesilapan memahami pengertian ibadah dalam sebahagian masyarakat menyebabkan mereka yang malas terus dengan sikap kemalasannya, sebaliknya juga mereka yang rajin beribadah meninggalkan kerja-kerja pencarian nafkahnya. Akhir sekali kemurkaan Allah swt menimpa mereka yang salah pemahaman konsep ibadah.

Sedangkan ajakan beriman dan bertaqwa tidak membawa maksud sedemikian. Dengan pemahaman yang jelas dan tepat serta memahami konsep sebenar “khudhu`” melimpahkan sejuta keberkatan dari Maha Pencipta.

Maksud dari firman Allah swt dalam surah al-A`raf, ayat 96:

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Manusia pada hari ini lupa dan leka, lantas mereka tidak pernah mengingati betapa Allah swt akan menurunkan azabNya pada bila-bila masa. Kelalaian yang berterusan bahkan membelakangkan al-Quran dan Sunnah menyebabkan Allah swt tidak menyembunyikan azabNya ke atas mereka.

Azab bukan hanya dengan gempa bumi yang berlaku, tanah runtuh, ribut taufan dan bumi terbelah. Hanya dengan kepayahan melaksanakan ibadah sudah dikira bala’ dariNya. Umpama fitnah dan dugaan yang melanda umat Islam saat ketika dihalang ke masjid untuk beribadah oleh golongan kuffar, laungan azan dibataskan hanya dalam ruang masjid sahaja, syiar Islam yang sepatutnya dikibarkan lantas ditutup ruang kibarannya, itulah antara azab yang menyelubungi umat ini.

Sedar atau tidak saat muslim seluruhnya mengabaikan perintah Allah swt dengan membelakangkan firmanNya yang mengarahkan mereka bersatu padu untuk melawan musuh Islam, lantas seluruh muslim itu enggan menerimanya, dalam masa yang sama mengutamakan permohonan senyap musuh, akibatnya bala’ bakal menimpa umat. Perpecahan kian terasa, permusuhan kian jelas antara mereka, lalu ianya bakal diratapi bak tangisan kita melihat rakan di Pattani mudah diratah musuh durjana dengan senjata, saudara se-agama di Singapura dibelenggu penafian hak mengibarkan syiar agama Yang Maha Esa, pemerkosaan ke atas wanita suci muslimah di rantau Arab dek kerana membelakangkan kesepatakan antara negara yang bangsanya sama, agama majoritinya sama, bahasanya sama, budayanya se-ia, makanan mereka itulah juga, akan tetapi praktisnya “nafsi-nafsi” aku dengan duniaku dan engkau dengan dunia engkau . Lantas Allah swt menguji mereka dengan ujian yang berat, akibat daripada pendustaan terhadap arahan Rasul mulia saw.

Al-Quran sekali lagi mengingatkan kita al-A`raf, ayat 97-99:

Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur?

Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalahan naik ketika mereka sedang bermain?

Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiadalah yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.

Lalu, apakah pilihan yang ada pada kita? Sudah pasti melarikan diri dari ancamanNya dengan melaksanakan titah perintah Raja Segala Raja, Allah Yang Maha Esa.

By bahteradakwah

Lebih Baik Berkongsi, Anda Tidak Akan Rugi!!!

Sejujurnya saya katakan, bukan semua benda mampu kita lakukan. Banyak perkara yang kita tak mampu buat tetapi teringin hendak lakukannya.

Seandainya anda seorang pegawai kerajaan, anda tidak dibenarkan untuk membuat kerja-kerja luar selain tugasan sedia ada. Tetapi minat mendalam anda dalam perniangaan membuatkan hati anda bergelojak untuk lakukannya, sedangkan sekali lagi anda “dilarang” berbuat demikian, oleh itu jangan biarkan ianya berlegar dalam hati anda.

Langkah terbaik adalah kongsikannya dengan orang lain melalui tulisan ringkas berbentuk artikel atau karyakannya dalam bentuk buku terbitan.

Hasilnya anda akan menjadi peniaga sambilan juga tanpa dihalang oleh majikan, bahkan kemungkinan dengan penghasilan artikel dan karya anda menjadi seorang yang terkenal. Ini menyebabkan majikan anda sayang pada anda.

Saya katakan, anda untung lima kali:

  1. Kekal bekerja dengan majikan sedia ada.
  2. Mendapat ganjaran pahala hasil perkongsian ilmu.
  3. Mendapat habuan “saguhati” hasl penulisan.
  4. Menjadi seorang yang dikenali di muka bumi.
  5. Menjadi insan yang disebut-sebut oleh para malaikat – jika bekalan IKHLAS tersemat di dada.

Lebih baik berkongsi…anda tidak akan rugi!!!

By bahteradakwah

Masa Oh Masa!!!

Disebabkan kepentingan masa dalam kehidupan dunia, maka Allah swt telah bersumpah dengannya. Cuba kita renungkan firman Allah swt dalam al-Quran. Surah al-`Asr biasanya menjadi rujukan kita apabila menceritakan tentang masa. Kita perhatikan juga surah al-Dhuha, surah al-Syams, surah al-Jum`ah, surah al-Qiyamah, surah al-Fajr, surah al-Lail.

Pengulangan seperti ini tidak lain dan tidak bukan adalah method al-Quran mengingatkan manusia peri pentingnya masa yang diberikan itu. Ini kerana manusia seringkali ketinggalan dalam menggunakan masa dengan sebaiknya.

Kita belum berbicara secara mendalam berkaitan ayat dalam surah-surah yang disebutkan di atas, sekiranya perbahasan itu dibuka di sini, sudah pasti ruangnya bukan di blog lagi, tetapi dicetak menjadi buku terbitan.

Kawan-kawan sekelian, untung rugi kita di muka bumi ini dilihat sejauh-mana kita mampu memanfaatkan masa yang dikurniakan Allah swt kepada kita. Seseorang itu mencapai kejayaan apabila dia pandai menggunakan masa 24 jam yang ada dalam genggamannya. Begitu juga insan yang memperolehi kerugian, sudah tentu 24 jam yang ada padanya dianggap seperti debu yang tidak bernilai.

Dengan emas manusia boleh melakukan apa sahaja yang dia inginkan, dengan masa yang disusun rapi, manusia mampu menguasai dunia yang diimpikan. Kata pujangga Arab:

الوقت كالسيف فان لم تقطعه قطعك

“Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memenggal lehermu”.

Manusia akan mati dalam keadaan sia-sia jika 60 tahun yang diberikan Allah swt kepadanya tidak dimanfaatkan dengan baik, sebaliknya tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhariy yang usianya tidak melebihi 70 tahun, tetapi semua perniagaan yang penting sudah dimilikinya. Jangan bicarakan tentang peribadinya, bicarakan tentang hasil yang diperolehinya dari masa yang lebih kurang sama dengan yang Allah kurniakan kepada kita.

By bahteradakwah

Impian Dan Cita-Cita

Tidak salah untuk seseorang itu mengimpikan sesuatu dan memendam cita-cita yang tinggi. Asalkan ianya membawa faedah yang banyak buat dirinya, keluarga dan ummat ini.

Bagi saya tiada langsung pertembungan antara cita-cita yang tinggi dengan firman Allah swt dalam al-Quran yang menyatakan :

فطال عليهم الأمد فقست قلوبهم

Ertinya: Telah panjang cita-cita mereka sehingga keras hati-hati mereka.

Manusia boleh menjadi lupa kepada Allah swt apabila segala apa yang dihajatinya belum tercapai, bahkan lebih dahsyat apabila si fulan menggunakan cara yang haram untuk mencapai apa yang dia inginkan.

Sehingga orang ini berada pada tahap tidak mendirikan solat kerana inginkan kekayaan, berniaga sehingga lewat malam menyebabkan solat subuhnya terabai, mengangkat barang-barang perniagaan yang berat sehingga lupa untuk menyimpan tenaga dengan tujuan beribadah kepada Allah swt.

Inilah yang menjadikan hati seseorang itu keras, lalu cit-cita ini hanya menjadi angan-angan kosong yang menjauhkan dirinya daripada kuasa Yang Maha Suci, lebih dahsyat apabila cita-citanya yang besar menjadi minyak tanah yang memarakkan api neraka yang menjilatnya.

Impian dan cita-cita adalah mustahak, tetapi janganlah sampai ia menjadi batu penghalang hamba dengan Penciptanya.

By bahteradakwah

SEKIRANYA AKU…

Sekiranya aku menjadi pegawai peng-agih zakat, nescaya aku akan:

1. Mencari seramai mungkin insan yang memerlukan untuk diberikan bantuan.

2. Aku akan membina sebuah sekolah untuk menyekolahkan anak-anak miskin yang layak menerima zakat.

3. Aku akan salurkan zakat kepada sekolah-sekolah agama yang ada di negeri aku.

4. Aku akan salurkan bantuan kepada para mereka yang memerlukan walaupun bertahun-tahun lamanya, kerana aku tahu kesusahan seorang fakir dan misikin yang hendak menyekolahkan anak-anak mereka.

5. Bantuan zakat yang aku salurkan, aku tahu tidak dapat mengubat kesusahan sang fakir, tetapi dapat menyenangkan anak-anak sang fakir saat mereka dididik dengan sistem persekolahan yang sempurna.

6. Aku akan bawa pembayar zakat untuk melihat hasil zakat yang mereka lunaskan melalui pejabat zakat.

7. Aku tak akan umumkan berapa hasil kutipan zakat, sebaliknya aku akan war-warkan baki yang “0” dalam akaun zakat. Supaya pembayar zakat tahu yang wang zakat mereka tidak dibekukan dalam akaun pejabat zakat.

8. Aku akan berusaha membina penempatan kepada mereka yang layak menerima zakat.

9. Aku akan membantu penerima zakat untuk memiliki perniagaan, agar kelak mereka juga mampu membayar zakat.

1o. Aku akan cukupkan gaji para pegawai zakat agar mereka tidak memikirkan cara lain untuk mendapatkan wang tambahan, selain berusaha gigih membantu umat Islam yang perlukan bantuan melalui zakat.

11. Aku akan bekalkan bajet yang secukupnya untuk meramaikan non-muslim memeluk agama suci ini.

12. Aku akan jaga akidah umat Islam dengan bantuan zakat.

13. Bila manusia bertanya “Kenapa kau manjakan para penerima zakat?”. Aku akan jawab “Jika tiada penerima zakat, maka tiadalah pahala bagi pembayar zakat”.

14. Aku akan tutup pintu usaha meng-kritian-kan anak bangsa agamaku.

15. Aku akan biarkan musuh-musuh Islam menggelupur mencari jalan merosakkan akidah anak bangsa agamaku kerana pintu kesusahan telah ditutup.

Ya Allah…Ampunilah dosaku dan dosa saudara-saudara seagamaku yang lalai membantu mereka yang lapar dan dahaga, lantas gereja-gereja menjadi tempat sandaran…Perbanyakkanlah buah fikiran kami untuk menutup pintu kemiskinan dan kefakiran saudara seagama kami…Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa!!!

By bahteradakwah

TIDAK SERUPA

Ini adalah tahun yang ke 28 saya menyambut aidilfitri. Alhamdulillah..Apa yang saya nampak adalah setiap kali menyambut aidilfitri perkara yang sama akan berulang. Sebagai contoh kegembiraan meraikan hari raya, ziarah menziarahi sanak saudara dan rakan taulan.

Cuma bezanya adalah setiap tahun aidilfitri disambut, keluarga yang menziarahi atau diziarahi begitu juga rakan dan taulan akan terlihat pada raut wajah mereka perubahan. Perubahan yang saya maksudkan adalah dari sudut fizikal. Perangai mungkin lebih kurang sama saja.

Perkara ini membuatkan saya terfikir bahawa setiap manusia pasti akan menemui suatu zaman yang mana dia akan membesar remaja, belia dan dewasa. Semua kita begitu rupanya. Cuma mungkin kita selalu melihat fizikal kita di cermin, menyebabkan kita menyangka bahawa kita adalah sama. Sama seperti dahulu kala, walaupun kita sudah berusia, kita tetap berkata pada diri kita yang kita masih seperti dahulu.

Yang nampak kita tidak serupa seperti dahulu adalah orang yang menziarahi kita atau yang diziarahi kita. Sedar atau tidak, masa berlalu begitu cepat. Patutlah ada maksud hadith yang menyatakan bahawa akhir zaman masa akan berlalu begitu cepat. Setahun rasanya seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari dan sehari seperti ????

Ramadhan sudah berlalu pergi, tiba pula Syawal…Nanti akan tiba Ramadhan lagi, Syawal pula mendatangi…Begitulah masa akan terus datang menemui kita, cuma kita mungkin tidak menemui masa yang tiba.

Peristiwa ini begitu mengingatkan saya bahawa mati pasti tiba, bersedia atau tidak kita…?

By bahteradakwah

YAKIN DENGAN KUASA ALLAH, ZINNIRAH MENJADI CONTOHNYA …..

Siapa yang tidak kenal Zinnirah, salah seorang daripada Sahabiyat yang agung. Beliau pernah menjadi hamba kepada Saidina Umar al-Khattab r.a pada zaman sebelum Islam.

Saidina Umar r.a adalah seorang yang agak bengis pada zaman Jahiliyahnya. Suatu ketika beliau telah memukul Zinnirah sehingga buta matanya.

Apabila Zinnirah telah memeluk Islam, beliau diejek oleh orang-orang Quraisy yang lain, dakwa mereka..”Wahai Zinnirah, sesungguhnya mata engkau buta kerana perbuatan tuhan Lata dan `Uzza”.

Zinnirah menjawab bahawa “butanya” adalah kerana kuasa dari Allah swt, bukan kerana kuasa berhala Lata dan `Uzza yang disembang oleh Kafir Quraisy. Zinnirah berkata lagi, “Allah yang telah membutakan mata aku, Dia jugalah yang akan mengembalikan penglihatan aku”.

Lantas Zinnirah berdoa kepada Allah swt dengan penuh pengharapan dan keyakinan. Tidak lama selepas itu, Allah swt dengan kuasaNya yang maha agung telah mengembalikan penglihatan Zinnirah seperti sedia kala.

Apabila diketahui hal tersebut ke telinga Quraisy, mereka terus berkata, “Ini adalah sihir Muhammad”.

Sidang pembaca sekelian, adakah menjadi sesuatu yang mustahil untuk Allah swt mengembalikan semula penglihatan kepada orang yang buta? Adakah menjadi sesuatu yang mustahil bagi Allah swt untuk menyelamatkan Nabi Musa as daripada asakan Firaun dan tenteranya? Tidak juga menjadi sesuatu yang mustahil bagiNya untuk memenangkan Rasul saw dan para sahabat dalam peperangan Ahzab.

Dengan keyakinan yang tulus terhadap Allah swt, nescaya perkara yang luar daripada jangkaan manusia akan dapat diselesaikan oleh Allah swt.

Zinnirah bukan rabun mata, tapi BUTA mata…Melihat semula seperti sedia kala, adakah sesuatu yang mustahil ??

Zinnirah yakin, anda juga yakin, saya ingin katakan….Anda mampu lakukannya !!

By bahteradakwah